20 October 2010

{Info} Hepatitis B

Assalammualaikum…

Akibat kesibukan yang diluar jangkaan, makanya baru sekarang dapat share sesuatu. Sheila nak berkongsi info tentang penyakit Hepatitis B… Sebelum ni memang tak pernah ambil peduli dengan penyakit ni hinggalah Arwah makcik Sheila meninggal disebabkan Hepatitis B. Rupa-rupanya arwah dah menghidap penyakit ni selama 25 tahun… semasa hayatnya arwah bekerja sebagai jururawat.

Sedih sungguh bila mengenangkan keadaan makcik yang merupakan seorang yang ceria hanya mampu terbaring kelesuan… memang tiada tanda-tanda awal, tapi bila di hujung hayatnya, penyakit ni mula memberikan kesan. Jadi, ikutilah kisah selanjutnya…

Hepatitis B punca 80% barah hati

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp. com.my

Ramai tidak tahu virus hepatitis 100 kali lebih berjangkit daripada HIV

HEPATITIS B adalah jangkitan hati yang serius disebabkan virus hepatitis B (HBV). Bagi sebilangan orang, jangkitan itu boleh bertukar menjadi kronik sehingga membawa kepada kegagalan hati, barah hati atau sirrosis (keadaan yang menyebabkan hati berparut untuk selama-lamanya) . Malah, HBV dikatakan punca utama barah hati dan sirrosis yang kronik.

Mengikut statistik, hepatitis B kronik menduduki tangga ke 10 dalam carta punca kematian paling utama di seluruh dunia dengan kira-kira 350 juta orang dijangkiti sepanjang hayat.

Malah, hepatitis B kronik juga menjadi punca 80 peratus daripada barah hati utama dunia. Dianggarkan setiap tahun kira-kira 1.2 juta individu meninggal dunia akibat penyakit hati kronik yang berkaitan dengan hepatitis B. Di Malaysia, dianggarkan 5.24 peratus penduduk mengalami hepatitis B (kira-kira 1.3 juta).

Secara saintifiknya, hepatitis B berpunca daripada virus hepatitis B yang menyerang sel hati. Virus ini boleh dipindahkan daripada ibu kepada anak ketika proses kelahiran atau menerusi pemindahan darah atau pendedahan terhadap darah dan bendalir lain daripada pesakit.

Virus ini 100 kali lebih berjangkit daripada HIV, dan kebanyakan orang tidak menyedari mereka dijangkiti. Ini kerana gejala penyakit hepatitis B mungkin tidak muncul dengan serta-merta. Justeru, ramai pesakit hepatitis B kronik mengambil sikap sambil lewa dalam mendapatkan pemeriksaan. Sikap ini juga mungkin didorong oleh kurangnya pengetahuan mengenai program rawatan yang khusus untuk mengawal virus hepatitis B.

Presiden Yayasan Hepar Malaysia (MLF) yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata penting untuk pesakit hepatitis B kronik mendapatkan pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan tahap penyakit mereka supaya rawatan yang khusus boleh dijalankan.

Katanya, ada juga kes membabitkan segelintir doktor yang tidak mengetahui wujudnya protokol rawatan untuk pesakit hepatitis B. Ini menyebabkan timbulnya salah anggap oleh pesakit yang berasakan mereka tiada harapan untuk mendapatkan rawatan.

"Sikap segelintir doktor itu adalah masalah yang serius kerana pesakit yang tidak mendapatkan rawatan kemungkinan besar akan berhadapan komplikasi penyakit yang lebih serius seperti penyakit hati kronik, sirrosis dan kanser hati.

"Oleh itu, pesakit hepatitis B seharusnya didiagnosis supaya dapat ditentukan sama ada rawatan diperlukan atau tidak selain jenis dan tempoh rawatan yang sesuai. Walaupun ada sebilangan pesakit yang tidak memerlukan rawatan serta-merta, mereka ini juga harus mendapatkan nasihat doktor supaya komplikasi penyakit boleh dielakkan," katanya.

Katanya, diagnosis awal serta rawatan yang betul dapat menyelamatkan nyawa. Paling penting, hepatitis B boleh merosakkan hati dan disebarkan kepada orang lain walaupun anda tiada memiliki sebarang tanda dan simptom.

"Justeru, penting untuk anda membuat ujian jika anda percaya anda terdedah pada jangkitan hepatitis B," katanya.

Bagaimanapun, katanya jangan terpedaya untuk membeli sebarang makanan tambahan yang boleh membaiki fungsi hati tanpa sebarang pengesahan daripada doktor pakar yang bertauliah.

Gejala

Bagi sesetengah orang, hepatitis B menunjukkan simptomnya pada peringkat awal (terutama bagi bayi dan kanak-kanak) tetapi bagi sesetengah yang lain pula tanda awal tidak kelihatan. Secara umumnya gejala hepatitis B akan muncul 12 minggu selepas anda dijangkiti dan ia boleh terjadi sangat serius atau pada tahap ?lemah? (mild).

Rawatan

Ada banyak rawatan hepatitis B yang ada di pasaran. Antaranya Sebivo® yang dilancarkan Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd. Sebivo adalah ubat oral sekali sehari yang boleh diambil bersama atau tanpa makanan. Ia berfungsi dengan mengekang HBV secara pantas dan berkesan di kalangan pesakit dewasa yang menunjukkan tanda-tanda penggandaan virus dan radang hati aktif.

Pelan rawatan bagi pesakit hepatitis B kronik bergantung kepada peringkat penyakit itu. Justeru, penting untuk pesakit menemui doktor secara berkala untuk pemeriksaan walaupun mereka tidak memerlukan ubat buat masa ini.

Ini bagi menentukan rancangan pengurusan dan jenis terapi yang sewajarnya berasaskan keadaan mereka. Pengesanan awal amat penting kerana ia boleh mencegah kerumitan serius yang dihadapi pesakit pada masa depan dan membantu meningkatkan kualiti kehidupan.

INFO: Simptom hepatitis B

Kurang selera makan
Loya dan muntah
Lemah dan pening
Sakit perut terutama di sekeliling atau berdekatan hati
Air kencing berwarna gelap
Kulit yang kekuningan dan mata berwarna putih (jaundis)
Sakit sendi.

signature_thumb[6]

3 comments:

mon said...

hi..sa nak tanya adakan hapetitis b jika penyakit ni ada pada c isteri ble berjangkit c suami atau macmana..dan mcmana mengubati sakit ni jika ada pada seseorang itu..

Rosilawati Wahid said...

Boleh check dengan doktor tapi dari pemerhatian Sheila, pakcik Sheila tak menghadapi apa2 masalah pun. Tapi silalah rujuk dengan doktor untuk lebih kepastian.

Unknown said...

salam,info yg berguna..izin copy ye saya pun tgh search sebanyak mungkin maklumat tentang penyakit ini