Khamis Oktober 28, 2010
KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh sebelum mayatnya disumbat ke dalam sebuah beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata mayat remaja tanpa identiti yang dipercayai berusia belasan tahun dan berpakaian lengkap itu ditemui oleh seorang pekerja bengkel berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.
"Pekerja tersebut yang menunggang motosikal melalui lorong bersemak itu terjumpa sebuah bagasi besar sebelum bertindak menendang-nendang beg tersebut. Curiga dengan berat beg, dia kemudiannya membuka beg berkenaan sebelum terlihat mayat mangsa.
"Mangsa ditemui dalam keadaan berlipat dan pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia belasan tahun berdasarkan saiz badan dan tidak mengalami kecederaan luaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata mangsa yang bertubuh sederhana, berpakaian gaun biru paras lutut, berkulit sawo matang dan berambut lurus mencecah bahu, tidak diikat dan dipercayai baru mati berdasarkan keadaan mayat yang masih 'segar' dan tidak berbau.
Abdul Jalil berkata mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut yang berdekatan dengan Rumah Anak Yatim Amal Belaian Kasih (RABEKA) Taman Ukay Perdana.
"Beberapa helai pakaian termasuk tuala mandi turut ditemui dalam bagasi berkenaan yang disyaki milik mangsa. Bagaimanapun punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan," katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.
Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga iaitu remaja perempuan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk proses pengecaman dan pengesahan. - BERNAMA
SHEILA WAHID : Ntah apa nak jadi dunia hari ini. Banyak sangat pembunuhan. Nyawa macam dah tak ada harga... Mintak dijauhkan. Takziah kepada keluarga mangsa.
No comments:
Post a Comment