IDEA menyimpan wang mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak biarpun faedahnya besar dan nyata. Ini berikutan daripada tuntutan menggunakan wang untuk aktiviti lain yang tidak kurang pentingnya seperti membayar bil dan sebagainya. Namun begitu, ia tidak patut dijadikan alasan kerana menyimpan wang adalah aktiviti mudah yang boleh dilakukan jika anda mempunyai keazaman yang tinggi dan secara sukarela mengikuti cadangan-cadangan berikut:
1. Tetapkan objektif penyimpanan
Seperti merangka bajet, kita juga mesti menetapkan objektif mengapa perlu menyimpan wang. Ini penting untuk memastikan kesinambungan aktiviti penyimpanan sehingga apa yang diidamkan tercapai. Antara objektif penyimpanan yang munasabah ialah:
- Membeli hadiah harijadi/perkahwinan untuk keluarga/sahabat
- Pergi bercuti selepas penat bekerja
- Mengubah suai rumah supaya lebih selesa
- Menambah nilai premium insurans
2. Gunakan wang tunai bagi setiap pembelian
Antara manfaat menggunakan wang tunai ialah anda mempunyai kuasa kawalan penuh terhadap setiap perbelanjaan. Sebagai contoh, anda akan berfikir dua tiga kali sebelum membelanjakan wang bagi sesuatu yang tidak penting untuk dimiliki. Bagi memupuk kebiasaan, tinggalkan kad kredit anda di rumah ketika pergi membeli-belah. Sebagai ingatan, jangan lupa untuk menyimpan resit pembayaran tunai.
3. Kawal pengeluaran wang daripada ATM
Anda dinasihat agar menetapkan jumlah pengeluaran wang daripada ATM. Ini dapat mengawal anda daripada berbelanja sesuka hati. Sekurang-kurangnya dengan wang terhad yang ada di dalam tangan, anda lebih berhati-hati berbelanja. Seperti contoh, tetapkan pengeluaran RM300 sebulan (bergantung kepada jumlah pendapatan dan cara anda berbelanja) daripada ATM. Jika wang yang dikeluarkan hanya cukup untuk keperluan asas, maka sudah tiba masanya anda mengurangkan perbelanjaan kapucino dan beralih kepada kopi tempatan yang tidak kalah rasanya.
4. Langsaikan hutang tertunggak kad kredit
Untuk memudahkan proses, anda boleh menjadikan ini sebagai salah satu matlamat penyimpanan wang. Tetapkan tempoh masa untuk anda melangsaikan hutang dan berhenti menggunakan kad kredit untuk pembelian berjumlah kecil. Pastikan juga anda hanya berbelanja setakat mana wang anda mampu membayarnya. Secara tidak langsung, ia dapat melindungi anda daripada membayar faedah andai kata hutang tertunggak ke bulan hadapan.
5. Tebus mata ganjaran kad kredit
Banyak syarikat kad kredit menawarkan mata ganjaran dengan setiap pembelian. Mata yang dikutip boleh ditukar dengan barangan tertentu yang ditawarkan. Untuk penyimpanan wang lebih, anda boleh merujuk kepada katalog yang dikhaskan untuk pelanggan bagi memperoleh barang yang dihajati. Tetapi ingat! Gunakan mata ganjaran setakat yang terkumpul saja dan jangan gunakan kad kredit untuk menambah nilai mata kerana ia menyimpang daripada objektif kewangan.
6. Membeli-belah pada jualan murah
Antara cara mudah menjimatkan wang ialah menangguhkan pembelian hingga jualan murah dilangsungkan. Ini bermakna anda perlu bersabar untuk mendapatkan barang yang dihajati. Tetapi kesabaran itu ada balasannya kerana anda dapat memperolehnya dengan harga lebih murah. Biarpun potongannya cuma lima peratus, sekurang-kurangnya ia mengurangkan perbelanjaan anda. Gunakan kempen “Karnival Membeli-Belah” dengan sebaiknya-baiknya. Di samping itu anda juga boleh mengunjungi “flea market” atau “car boot selling” di sekitar bandar raya kini.
7. Membeli-belah di pasar gudang
Banyak faedahnya jika anda berkunjung ke pasar gudang. Di samping mempunyai kelebihan menawarkan harga lebih murah, anda juga dapat:
- membeli semua keperluan di bawah satu bumbung
- menjimatkan masa pergi dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari barangan
- menjimatkan penggunaan minyak kenderaan
- menjimatkan pembayaran letak kereta
Tetapi pastikan anda membuat senarai barangan yang hendak dibeli terlebih dulu kerana tanpanya, anda mudah terpengaruh membeli barangan tidak diperlukan.
8. Dapatkan barangan atau perkhidmatan yang lebihmurah
Tahukah anda bahawa anda membantu peniaga membayar sewa kedai? Sebenarnya, harga barangan ditetapkan berdasarkan kos lain yang perlu ditampung oleh mereka termasuk sewa bulanan kedai. Sebab itu, barangan yang sama boleh diperoleh dengan harga yang lebih murah di kedai biasa berbanding harga di gedung terkemuka. Jika bijak mencari, anda pasti berjumpa kedai yang menawarkan harga yang lebih murah dengan nilai mutu barangan atau perkhidmatan yang sama.
9. Gunakan kupon diskaun/percuma
Untuk bertahan di dalam dunia perniagaan yang kompetitif, banyak peniaga menawarkan kupon diskaun/percuma untuk menarik pelanggan. Kupon seperti ini boleh didapati pada kebanyakan kedai, di dalam majalah kegemaran anda mahupun di dalam kotak surat di rumah. Jika sebelumnya anda tidak ambil peduli dengan apa yang ditawarkan, sudah sampai masa anda menggunakannya untuk kepentingan sendiri. Jika anda telitikan, anda dapat menjimatkan sejumlah besar perbelanjaan dengan hanya menggunakan kupon berkenaan. Tidak hairanlah mengapa ia menjadi kegemaran di Amerika Syarikat.
10. Jimatkan perbelanjaan makan tengah hari
Anda dapat lakukan ini dengan membawa bekal. Jika anda takut terasing daripada rakan-rakan, bawa saja bekal anda ke kantin. Untuk memudahkan anda menyediakan bekal, pastikan anda membeli barangan yang mudah dan tahan disimpan seperti sup di dalam tin, makanan sejuk beku dan snek tenaga (energy bar). Di samping menjimat perbelanjaan, pastinya anda tampil lebih kurus dengan berat badan ideal.
Jika anda mengamalkan petua di atas, anda dapat berjimat paling kurang RM3 sehari. Jika didarab, jumlahnya hampir melangkau RM100 sebulan. Dalam setahun anda dapat menjimat lebih dari RM 1,000. Satu langkah positif ke arah mencapai matlamat kewangan.
Artikel sumbangan ACCA
The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) adalah pertubuhan perakaunan profesional terbesar di dunia dengan 300,000 ahli serta pelajar di 160 negara. Keterangan lanjut www.accaglobal.com
Sumber Dari : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment