04 December 2010

Pengawet Mayat (kapur barus) Pada Makanan



Mengesan pengawet mayat pada makanan



Kajian terhadap teknologi Bio-Sensor selama empat tahun akhirnya membuahkan hasil.


ADAKAH anda sentiasa peka dan prihatin dengan apa yang anda makan setiap hari? Sedarkah anda terdapat pelbagai jenis pengawet makanan yang diletakkan oleh pengusaha dalam sumber makanan segar yang kita nikmati pada hari ini?
Paling ketara ialah sumber makanan laut yang antara lain untuk memastikan ia sentiasa kelihatan segar, cantik dan paling penting laris penjualannya.

Antaranya, penggunaan bahan kimia terlarang seperti larutan formalin (formaldehid) untuk mengawet makanan laut terutamanya ikan dalam jumlah yang banyak.

Larutan formalin sebenarnya digunakan untuk mengawet tisu organisma hidup seperti daging bagi menjadikannya tahan lama. Apa yang pasti larutan yang sama juga digunakan untuk mengawet mayat manusia!

Hakikat penggunaan bahan kimia itu secara berleluasa ke atas bahan makanan seperti ikan serta makanan laut yang lain telah lama disedari saintis dan pengguna.

Namun kajian menyeluruh serta mendalam bagi mengesan penggunaannya kurang dilakukan terutamanya di negara kita.

Menurut Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Fatimah Abu Bakar, jika bahan kimia tersebut diambil (melalui makanan) boleh membahayakan kesihatan manusia.

"Antara penyakit yang boleh dialami oleh seseorang yang menerima bahan kimia tersebut secara berlebihan adalah kanser paru-paru, kanser otak dan leukemia.

"Menurut The National Occupational and Health (NIOSH), Amerika Syarikat (AS), larutan formalin amat berbahaya kepada kesihatan jika individu terdedah dengan bahan kimia tersebut pada kepekatan melebihi 20 bahagian per juta (ppm)," ujar beliau ketika ditemui baru-baru ini di Serdang, Selangor.

Menyedari keselamatan pengguna kini semakin terancam, beliau bersama beberapa pengkaji mencipta alatan yang dikenali sebagai teknologi biosensor, menggunakan sejenis enzim bagi mengesan kehadiran larutan tersebut dalam makanan.

Teknologi yang terdiri daripada elektrod mudah alih khas yang disambungkan kepada alat pengukur perubahan arus elektrik (pada -0.2 volt) sebagai isyarat yang menunjukkan amaun larutan formalin yang terdapat dalam daging ikan.

Melalui teknologi tersebut, kehadiran larutan formalin boleh dikesan dalam masa 10 minit berbanding sebelum ini yang memerlukan masa sehari suntuk dan perlu dilakukan oleh pakar.
"Untuk mengesan larutan tersebut dengan lebih cepat, elektrod yang disaluti logam emas akan direndam di dalam enzim khas bersama cebisan daging ikan yang hendak diuji," ujar beliau.

Kaedah tersebut juga mampu mengesan kehadiran larutan formalin dalam ikan dan produk ikan pada aras 0.1 hingga 20 ppm.

Menurut Fatimah, bacaan 3 ppm dan ke bawah merupakan bacaan normal kerana ikan tersebut juga turut mengeluarkan bahan kimia tersebut secara semulajadi.

Namun, jika ia melebihi bacaan 3 ppm, maka kandungan larutan formalin dalam ikan tersebut dianggap tinggi dan berbahaya.

Pendaratan ikan dari laut kebiasaannya tidak mengandungi larutan formalin.

Kemungkinan besar bahan kimia tersebut digunakan selepas proses pendaratan bertujuan mengekalkan kualiti dan meningkatkan jangka hayat.

Penggunaan kaedah yang terpantas sedia ada di pasaran masih belum ada, justeru Teknologi Biosensor itu dikhususkan untuk tujuan pemantauan bahan kimia tersebut di bahagian pintu masuk negara.

Teknik pengesanan sedia ada tidak begitu tepat dan masih lagi kurang digunakan berikutan tahap kesedaran di kalangan masyarakat negara ini masih rendah.

Selain itu, alat pengesan terpantas yang terdapat dipasaran kini biasanya bersifat semi-kuantitatif atau tidak peka terhadap ikan dan produk makanan laut yang lain.

Beliau yang juga ahli kumpulan penyelidikan Teknologi Biosensor Kebangsaan telah menjalankan kajian mencipta alat biosensor dalam bentuk elektrod enzim sejak tahun 2003 hingga 2010.

Kajian berkenaan alatan itu juga dijalankan di Institut Biosains, UPM bersama Profesor Datuk Dr. Abu Bakar Salleh, Profesor Madya Dr. Nor Azah, pelajar beliau, Nur Indang Marzuki dengan kerjasama Profesor Dr. Lee Yook Heng dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kumpulan penyelidik yang dianggotai Fatimah mengambil masa hampir empat tahun untuk menghasilkan teknologi yang benar-benar mampu mengesan larutan tersebut dengan pantas.
Kajian terhadap teknologi tersebut telah dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bermula April 2007 sehingga Mac 2010 di bawah geran top-down project .

Teknologi tersebut masih di peringkat prapengkomersialan dan perlu menjalani siri penambah baikkan dari segi saiz dan bentuk sebelum boleh dipasarkan secara besar-besaran.

''Bagi setiap ujian yang akan dilakukan ia memerlukan kit ujian yang berharga sekitar RM50 dan ia boleh digunakan sebanyak 60 kali," katanya.

Manakala harga bagi alatan tersebut masih belum dapat ditentukan kerana ia akan mengambil kira kos pengeluaran yang akan ditetapkan oleh pihak industri yang berminat untuk membangunkannya.

Justeru, jika alatan tersebut berjaya dikomersialkan maka ia merupakan pengesan bahan pengawet mayat terpantas dan pertama seumpamanya di dunia.

No comments: